Hot News

HARIAN METRO : PELABURAN EMAS

PETALING JAYA: Public Fine Gold international Sdn Bhd (Public Gold), memberi pilihan kepada orang ramai untuk membuat pelaburan dengan menggunakan emas sebagai aset pelaburan masa kini, sekali gus menjamin pulangan lebih tinggi pada masa depan.
Pengarahnya Dr Umar Ibrahim Vadillo, berkata, emas lebih baik daripada mata wang dan disebabkan itulah nilainya sentiasa bertambah.

Menurutnya, pelaburan dinar emas yang diketengahkan pihaknya adalah sebagai pengganti kepada pelaburan dalam bentuk mata wang masa kini yang tidak bersifat stabil dan bergantung kepada kedudukan ekonomi dunia.
Katanya, Public Gold menawarkan emas fizikal dalam bentuk jongkong dan syiling emas dengan kadar ketulenan 999.9 peratus selain dinar emas 916 yang boleh dijual mengikut harga emas antarabangsa.

“Kami bukan berhasrat untuk menggantikan penggunaan wang tunai sebagai pelaburan dengan dinar emas, sebaliknya adalah dengan memberi pilihan kepada orang ramai untuk melabur.

“Pelaburan dalam bentuk aliran wang mempunyai kelemahan kerana ia bergantung kepada nilainya yang kadangkala menyusut dan kadangkala meningkat,” katanya dalam sidang akhbar pada Seminar Keadilan Kewangan: Anda, Emas dan Dinar, di Petaling Jaya, kelmarin.

Umar yang juga Pengerusi Persatuan Dagangan Dunia Islam berkata, emas sudah lama digunakan masyarakat terdahulu dan dalam menghadapi krisis ekonomi, pelaburan dalam bentuk emas mampu menjamin masa depan seseorang itu

“Di masa depan, kita tidak tahu apa yang berlaku terhadap nilai mata wang yang kita miliki kerana jika kita melabur dalam jumlah yang banyak sekalipun, jika nilainya jatuh, maka itu bermakna kita akan rugi,” katanya.

“Ini tidak berlaku kepada emas kerana kesan perang sekalipun tidak akan menyusutkan nilainya yang mempunyai permintaan di seluruh dunia,” katanya.

Sumber: Pelaburan Emas @ Harian Metro
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
USD SEPERTI TISU TANDAS

KUALA LUMPUR 1 Nov. – Penggunaan dinar emas perlu dipertimbangkan oleh semua kerajaan negara dunia kerana kestabilan nilainya berbanding penggunaan mata wang yang tidak menentu naik turunnya. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, langkah menggunakan dinar emas sebagai ganti mata wang utama seperti dolar Amerika Syarikat (AS) dalam pelbagai transaksi juga boleh menghentikan perang mata wang

Katanya, dolar AS kini sudah tidak bernilai seperti mana beberapa tahun dahulu dan penggunaan mata wang kertas juga tiada lagi sehebat sebelum krisis ekonomi pada tahun 1997/98 dan penggunaan dinar emas adalah jalan penyelesaian terbaik. “Mata wang AS kini boleh dianggap sebagai tisu tandas kerana nilainya semakin menyusut dan tidak berharga berbanding emas yang diterima di semua negara dunia,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba di sini hari ini.

Bagaimanapun, kata bekas Perdana Menteri itu, dinar emas tidak sesuai untuk digunakan dalam urus niaga runcit seperti mana hasrat Kerajaan Kelantan yang mahu menggunakan dinar emas dalam transaksi jual beli. Mengulas lanjut kata beliau, penyusutan nilai dolar AS pada ketika ini menjadi satu masalah yang cukup besar kepada negara-negara yang menyimpan dan bergantung kepada nilai mata wang itu. “Jika setiap negara menurunkan nilai mata wangnya, pasti akan ada perang mata wang dan sudah tentu, menyumbang kepada krisis,” katanya. Beliau tetap berpegang bahawa emas mempunyai nilai kukuh dan merupakan nilai yang lebih baik berbanding mata wang.

“Mata wang tidak ada sokongan kecuali dicari oleh orang ramai. Sekiranya negara-negara mula menurunkan nilai mata wang mereka, akan berlaku kekecohan dalam perdagangan antarabangsa,” kata Dr. Mahathir.
Terdahulu dalam ucaptamanya, negara-negara Islam mesti membangunkan pengurusan sistem kewangan Islam yang berhemat. Ia mesti lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional sedia ada, yang mampu menampung kejutan dan tidak dimanipulasi penyangak. Dengan peserta industri mencari jalan untuk mencergaskan kewangan, sistem kewangan global sendiri amat memerlukan pengurusan yang sempurna, katanya. “Saya jangka kewangan Islam akan berkembang, tetapi cabarannya ialah pengurusan berhemat dan sistem yang lebih baik. Jangan ikut sistem konvensional yang berurusan dalam segala bidang,” katanya.
Antara gesaan beliau kepada negara Islam ialah menggunakan dinar emas sebagai alternatif, bagi mengurangkan pergantungan terhadap dolar AS sebagai mata wang global untuk perdagangan.

Sumber : www.utusan.com.my
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
SEDUTAN DARI NUKILAN TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Assalammualaikum kepada para pembaca..di sini saya nak kongsikan dengan para pembaca nukilan dari Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir pada November 2008
1. Ramai juga yang bertanya berkenaan Dinar Emas termasuk juga BBC yang mengadakan wawancara dengan saya baru-baru ini.

2. Apa yang sudah jadi kenyataan yang tidak lagi dapat dinafi oleh negara-negara di dunia ialah sistem kewangan yang ada sekarang sudah gagal untuk diguna dalam ekonomi dan dagangan baik dalam negeri atau antarabangsa.

3. Keputusan Bretton-Woods selepas Perang Dunia Kedua ialah semua matawang negara di dunia ditentukan nilainya mengikut nilai tukaran dengan matawang Amerika Syarikat.

4. Tetapi di tentukan juga yang nilai Dolar Amerika ialah sebanyak 35 Dollar untuk satu ouns emas. Ini bermakna secara tidak langsung semua matawang dinilai mengikut sekian banyak emas.

5. Di masa itu semua matawang adalah kukuh. Tetapi Britain, pada tahun 1966 telah turunkan nilai Pound British. Malaysia telah rugi banyak kerana simpanan (reserve) kita adalah dalam matawang Pound. Pada satu masa Pound yang bernilai Ringgit Malaysia 8.30 telah turun kepada Ringgit Malaysia 3.60.

6. Kemudian Presiden Richard Nixon membuat keputusan bahawa Dollar Amerika tidak lagi terikat dengan emas. Amerika telah tolak apa yang dipanggil sebagai “Gold Standard”. Amerika juga memutuskan bahawa pasaran akan tentukan nilai Dolar Amerika.

7. Tetapi negara-negara lain masih percaya akan kekuatan ekonomi Amerika dan meneruskan ikatan nilai matawang mereka dengan Dollar.

8. Satu lagi keputusan dunia antarabangsa ialah nilai dagangan antarabangsa ditentukan dengan nilai Dollar Amerika dan bayaran juga dibuat dengan Dollar Amerika. Ini menyebabkan permintaan bagi Dollar Amerika menjadi kuat dan sekali gus menjamin nilai Dollar Amerika tidak jatuh walaupun tidak lagi diukur dengan sekian banyak emas.

9. Pada satu masa dahulu bank besar dibenarkan mencetak dan mengeluarkan “Bank Notes” sebagai wang yang sah dipergunakan. Kemudian pemerintah mengambil alih pengeluaran matawang.

10. Bank mengeluarkan pinjaman daripada modal dan deposit oleh pelanggan. Kadang-kadang jumlah pinjaman melebihi wang yang ada dalam bank. Tetapi ini dihadkan. Walaupun demikian pinjaman yang dikeluarkan kerap kali jauh lebih banyak dari had yang ditentukan.

11. Apabila pendeposit mengeluarkan simpanan mereka beramai-ramai maka bank tidak mampu untuk membayar balik kepada pendeposit kerana semua wang telah diberi pinjam bahkan lebih daripada itu. Dalam keadaan ini bank mesti di selamatkan (bail-out) oleh Kerajaan.

12. Melihat bahawa bank boleh mengeluarkan pinjaman hampir tanpa had (unlimited) maka penyangak pun merancang untuk guna duit bank yang tidak terhad ini untuk meraih keuntungan atas angin. Maka berlakulah dagangan matawang, pinjaman kepada peminjam yang keupayaan membayar tidak terjamin, penjualan pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada syarikat insurans dan syarikat gadaian (mortgage company) dan lain-lain. Jumlah semua transaksi ini amat besar, bernilai berbilion dolar. Apabila ramai peminjam tidak dapat bayar hutang atau servis hutang, maka mereka yang membeli pinjaman bank dapati mereka akan rugi berbilion dolar.

13. Dan banyak lagilah penyalahgunaan sistem bank Barat yang dilakukan. Demikian Amerika dengan kekayaannya yang besar sekalipun tidak dapat menampung berbilion dolar kerugian oleh bank, syarikat, insuran, syarikat mortgage, hedge funds, merchant dan investment bank dan lain-lain.

14. Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas.

15. Tidak seperti duit kertas emas tetap mempunyai nilai dimana-mana dalam dunia. Dinar Emas dicadang hanya untuk menyelesaikan bayaran dagangan antarabangsa.

16. Apakah ada cukup emas dalam dunia untuk dijadikan wang antrabangsa? Sudah tentu tidak.
17. Tetapi kita tidak perlu bayar dengan dinar emas sepenuhnya. Memadai jika kita bayar cuma lebihan antara import-eksport antara dua buah negara.

18. Jika sebuah negara mengeksport 100 juta Dinar kepada sebuah negara lain dan negara itu pula mengeksport kepada negara pertama barangan atau khidmat yang bernilai 110 juta Dinar, maka bayaran yang harus dibuat oleh Bank Negara negara yang pertama hanyalah 10 juta Dinar emas. Jika tidak ada Dinar Emas yang mencukupi maka bayaran boleh dibuat kemudian dengan eksport bernilai 10 juta Dinar.

19. Kita bukan sahaja boleh ada dagangan antara dua buah negara tetapi antara beberapa buah negara. Sebenarnya bank-bank mengguna cara ini untuk menyelesaikan bayaran cheque kepada beberapa bank yang telah terima dan mengeluarkan bayaran berasas kepada cheque lain-lain bank.

20. Sudah tentu akan ada banyak masalah pada permulaan. Tetapi pakar-pakar boleh cari jalan untuk selesaikan atau atasi kelemahan sistem Dinar Emas ini.

21. Bank Negara Malaysia pernah runding dengan sebuah negara lain dan penggunaan Dinar Emas memang boleh dilaksanakan. Tetapi entah kenapa Bank Negara Malaysia tidak dapat menjayakan sistem ini.